Posted by
Unknown
|
0
comments
Bongkar Fitnah UMNO: Isu Penyelewengan Tabung Memali
Di tengah-tengah isu kenaikan harga barang dalam negara dan kebangkitan rakyat Arab di luar negara tiba-tiba muncul isu Tabung Memali yang kononnya diselewengkan. Ia semacam anti klimaks, membangkitkan isu lapuk yang telah selesai dan berkubur lebih 10 tahun lalu.
Tetapi biasalah BN, Utusan Malaysia dan RTM di saat ketandusan isu, mereka jadi lalat dan langau akan menyelongkar setiap tong sampah dan jamban untuk mencari bahan busuk yang boleh dijadikan isu bagi memperbodohkan kalangan rakyat yang kurang cerdik agar mempercayai propaganda mereka. Maka terus kekallah sokongan terhadap BN bermodalkan bara fitnah yang dinyalakan saban waktu.
Halal atau haram membuat fitnah bukan persoalan mereka kerana tiada perhitungan kematian, alam barzakh, akhirat, syurga atau neraka. Yang penting bagi mereka ialah berusaha mengekalkan kuasa BN melalui apa cara sekalipun kira-kira sampai turunnya Dajal.
Media-media talibarut BN ghairah membangkitkan isu tabung Memali kerana sedar bahawa ramai pemimpin PAS yang terlibat dalam kepimpinan PAS Kedah sewaktu peristiwa berdarah Memali dan sejurus selepasnya telah pergi untuk selamanya. Mereka tidak mungkin bangun membela diri untuk menceritakan apa yang sebenarnya berlaku.
Antaranya Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Azahari Razak, Ustaz Abd Wahab Sulaiman, Cikgu Mustafa Long, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Ustaz Suhaimi Ahmad dan ramai lagi. Fitnah oleh media talibarut BN ini dipanjangkan ke medan maya.
Puteri Umno yang sebahagian besar ahlinya belum melihat dunia sewaktu berlakunya peristiwa Memali turut memanjang fitnah isu tabung Memali dalam platform maya mereka. Mereka sama sekali tidak tahu bahawa peristiwa Memali adalah simbol kezaliman BN, menjadi ‘pembela’ kepada balu-balu dan anak mangsa Memali. Begitu jugalah umumnya generasi muda hari ini, tidak begitu memahami akan peristiwa Memali.
Maka ada baiknya kalau sebelum penjelasan mengenai tabung Memali dibuat, elok gambaran sebenar mengenai peristiwa Memali itu diperjelaskan terlebih dahulu kepada generasi terbaharu hari ini.
Peristiwa Berdarah Memali berlaku pada 19 November 1985 di sebuah perkampungan bernama Mali, Mukim Siong, Baling. Pertukaran nama Mali ke Memali dibuat oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Musa Hitam dan nama it uterus popular hingga ke hari ini.
Peristiwa itu berlaku bermula dari tindakan nekad pihak polis dan Kementeria Dalam Negeri untuk menangkap Ustaz Ibrahim Libya mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ceramah-ceramahnya yang dianggap menggugat keselamatan (menggugat ‘keselamatan’ politik BN?). Ustaz Ibrahim enggan menyerah diri dan bertegas jika pihak polis mahu mengambilnya maka ambillah mayatnya sahaja.
Musa Hitam telah menghantar satu ketumbukan polis yang luar biasa kekuatan dan jumlahnya untuk menangkap Ustaz Ibrahim. Berlakulah apa yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai “massacre” atau pembunuhan beramai-ramai terhadap Ustaz Ibrahim dan pengikutnya di Memali. 14 orang kampung mati diserang, manakala empat anggota polis terbunuh.
Musa Hitam adalah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, manakala Ustaz Ibrahim adalah seorang aktivis PAS maka apa yang dilakukan oleh Musa Hitam itu adalah tindakan politik untuk menyekat kemaraan politik PAS. Kerajaan mempunyai 1001 langkah untuk menangkap Ustaz Ibrahim tanpa melalui pertumpahan darah tetapi mereka sengaja memilih tindakan yang ganas dan rakus terhadap orang kampung yang lemah.
Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia itu lebih zalim dari isu kematian Teoh Beng Hock, tetapi oleh kerana pada itu pembangkang tidak mempunyai kekuatan maka mangsa kezaliman Memali dan PAS dibuli semahu-mahunya oleh kerajaan Malaysia dan jentera propaganda mereka.
Pihak yang terbabit dicop sebagai penjenayah, Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan dituduh sebagai pengamal ajaran sesat, ilmu kebal dan sebagainya. Ekoran serangan berterusan oleh jentera propaganda BN dan saluran media kedua belum wujud di Malaysia, maka imej PAS menjadi buruk. Akibatnya pada pilihanraya umum 1986, PAS hanya menang satu kerusi di Parlimen Pengkalan Chepa.
Ekoran peristiwa itulah Tabung Mangsa Memali ditubuhkan untuk membela balu-balu mangsa yang terbunuh, anak-anak yatim dan juga mangsa peristiwa Memali yang masih hidup, ditahan ISA, sakit, terlantar dan sebagainya. Ia dikendalikan oleh Badan Perhubungan PAS Kedah. Setiap sen wang derma disalurkan kepada yang layak dan berhak menerima.
Jika hari ini ada pihak memberitahu bahawa haram hukumnya memakan wang anak yatim, maka ketahuilah bahawa para pemimpin PAS Kedah pada masa itu; bermula dari Ustaz Fadzil Noor yang mengaji di Universiti Al-Azhar hinggalah kepada Aris Awang yang belajar di sekolah Cina pun lebih tahu bahawa haram juga mengambil harta orang lain yang bukan haknya.
Mereka lebih tahu bahawa satu sen rezeki haram yang menumbuhkan daging di jasad kita, maka api neraka adalah lebih layak untuknya.
Tabung mangsa Memali adalah pembelaan sementara untuk mangsa. Ia bukan skim insuran untuk pembelaan sepanjang hayat. Sampai ke satu peringkat di mana anak-anak yatim mangsa Memali kesemuanya sudah akil baligh dan para balu mangsa Memali pun sudah mempunyai anak-anak yang boleh berdikari, di samping ada yang mempunyai suami baru; maka Ustaz Fadzil Noor mengumumkan ketidakperluan mewujudkan tabung tersebut.
Dakwaan berlaku penyelewengan tabung Memali pernah dibuat sewaktu Ustaz Fadzil Noor masih ada. Laporan polis dibuat. Siasatan dibuat oleh unit yang paling professional dikatakan dari Bukit Aman.
Pihak yang dituduh berjaya mengemukakan catatan akaun yang sempurna tanpa sepicing pun penyelewengan. Soalan cepu emas yang mesti dijawab oleh semua; Adakah pihak polis dari kerajaan BN akan membiarkan begitu sahaja penyelewengan jika ada (terutamanya kewangan) dalam PAS tanpa diambil tindakan atau pendakwaan? Jika polis Malaysia buat begitu ia termasuk dalam lapan benda ajaib di dunia.
Cukuplah itu sebagai jawapan kepada pihak BN yang membuat fitnah kononnya terdapat penyelewengan dalam tabung Memali. Walaupun jawapan yang terperinci ada tapi ia tidak semesti perlu didedahkan. Macam seseorang dituduh tidak bersunat. Bukti yang nyata untuk menolak fitnah itu ialah dengan menyelak kain biar semua orang tengok. Tapi orang yang cerdik tidak perlu buat sampai ke situ.
0 comments: