Posted by Unknown | 0 comments

Ayat al-Quran ubati penyakit jantung berlubang

Soalan
Assalamualaikum. Saya baru menimang cahayamata pertama. Bayi saya berumur dua bulan dikenal pasti oleh pihak hospital mengalami masalah jantung berlubang.
Lubang itu hanya 2 mm di antara dinding kanan dan kiri di bahagian bawah jantung. Setiap kali menangis, kuku jari kaki anak saya menjadi biru.

Pihak hospital mencadangkan pembedahan. Saya ingin bertanya bolehkah saya mencuba rawatan al-Quran untuk menyembuhkan penyakit anak saya ini? Terima kasih. 
n Azhari Shaari
Jawapan
Untuk kita memahami masalah penyakit jantung berlubang, biarlah saya terangkan secara umum berkenaan jantung iaitu organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan. Ia dibahagikan kepada empat ruang berongga.

Terdapat dinding yang memisahkan antara ruang kanan dan kiri dipanggil septum. Setiap bahagian mempunyai dua ruang dikenali atrium bahagian atas dan dua ruang ventrikel di bahagian bawah.

Dinding septum mengasingkan darah dari bahagian kanan dan kiri jantung daripada bercampur. Ini penting kerana darah di sebelah kiri kaya oksigen sementara darah di ruang sebelah kanan pula kurang oksigen.

Jika terdapat lubang pada dinding septum, darah akan bercampur sebelum dihantar ke badan menyebabkannya mempunyai oksigen kurang dan boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.

Bayi Azhari mungkin mengalami penyakit jantung berlubang (Ventricular Septal Defect – VSD) atau secara amnya CHD (Congenital Heart Disease). Masalah ini berlaku apabila terdapat lubang atau kecacatan pada struktur jantung iaitu pada dinding dalaman jantung.

Banyak jenis kerosakan jantung berlaku sama ada menghalang aliran darah dalam jantung atau menyebabkan darah mengalir dalam jantung pada arah yang berlawanan. Antara kecacatan pada organ jantung yang mungkin boleh berlaku:

* Kecacatan atau lubang pada dinding jantung.

* Injap jantung bocor atau tersumbat.

* Terdapat hanya satu ventrikel.

* Salur darah bersambung secara abnormal.

* Jantung terletak di bahagian kanan dada.

Jenis penyakit jantung berlubang

Secara umumnya, penyakit jantung berlubang terbahagi kepada dua jenis iaitu VSD dan ASD:

ASD (Atrial Septal Defect)

Apabila terdapat lubang antara atrium, oksigen dari bahagian kiri jantung masuk semula ke bahagian kanan. Oleh itu bilik jantung bahagian kanan terpaksa mengepam dengan lebih kuat mengakibatkannya bengkak. Akibatnya, tekanan meningkat dan merosakkan paru-paru. Ia juga dikenali sebagai sakit jantung tidak biru (acyanostic congenital heart diseases).

VSD (Ventricular Septal Defect)

Dikenali juga sebagai sakit jantung biru (cynostic congenital heart disease). Biasanya berlaku di kalangan bayi apabila terdapat lubang pada dinding (septum) bahagian bawah yang menyebabkan darah mengandungi oksigen dari bahagian kiri masuk ke bahagian kanan. Darah yang berlebihan ini kemudiannya dipam semula ke dalam paru-paru yang boleh menyebabkan kerosakan paru-paru dan jantung itu sendiri.

Punca-punca

Dunia perubatan moden masih tidak tahu mengapa kecacatan jantung kongenital boleh berlaku. Keturunan mungkin memainkan peranan dalam beberapa kecacatan jantung.

Sebagai contoh, ibu bapa yang mempunyai kecacatan jantung kongenital lebih berisiko mempunyai anak dengan masalah ini. Selain itu, kanak-kanak dengan kecacatan genetik sering mempunyai kecacatan jantung kongenital. Contohnya separuh daripada bayi dengan sindrom Down mempunyai kecacatan jantung kongenital. Pengalaman Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah merawat anak-anak yang menghidap penyakit jantung berlubang mendapati terdapat elemen gangguan makhluk halus terutamanya saka yang boleh menyebabkan masalah genetik. Makhluk halus ini kadang-kala boleh menjejaskan sel badan pesakit.

Tanda-tanda awal penyakit jantung berlubang

Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak dapat dikesan sejurus lahir tetapi ada yang tidak menunjukkan sebarang tanda. Ini bergantung pada saiz lubang. Semakin besar lubang maka tanda-tanda akan lebih jelas. Antara gejala:

* Pernafasan dan pergerakan

nadi yang laju.

* Berat badan yang tidak bertambah dan

tidak sihat seperti kanak-kanak lain.

* Kelainan pada degupan jantung atau

denyutan jantung yang laju.

* Tidak boleh menyusu, banyak berpeluh

dan bernafas kencang.

* Keletihan melampau atau bernafas

kencang semasa makan/menyusu.

* Lebam-lebam biru pada kulit (sianosis).

Biasanya lubang-lubang kecil dan sederhana akan tertutup dengan sendirinya, namun ada juga kes kecacatan ringan yang tidak menyebabkan masalah dan sebarang tanda sehinggalah di kemudian hari.

Bagi orang dewasa yang rasa berdebar-debar iaitu degupan jantung menjadi kuat atau cepat tanpa sebab bukan kerana takut, penat, marah atau sebagainya, maka segeralah berjumpa dengan doktor.

Jika pemeriksaan hospital mendapati jantung anda sihat maka segeralah datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah kerana mungkin ada gangguan makhluk halus yang simptomnya hampir sama dengan masalah jantung berlubang.

Rawatan moden

Sesetengah kecacatan jantung adalah serius dan memerlukan rawatan segera selepas dikenal pasti. Bergantung kepada jenis kecacatan jantung, rawatan hospital boleh dibuat dengan:

* Prosedur menggunakan kateter. Kecacatan jantung kongenital diperbaiki menggunakan teknik catheterization, yang membolehkan pembaikan dilakukan tanpa pembedahan membuka dada dan jantung.

* Pembedahan terbuka jantung. Dalam beberapa kes, doktor tidak dapat menetapkan kecacatan jantung anak anda menggunakan prosedur kateter. Dalam kes ini, doktor akan melakukan pembedahan terbuka untuk mencuba membaiki kecacatan jantung anak anda. Ini adalah prosedur perubatan utama dan mungkin memerlukan masa pemulihan yang panjang untuk anak anda.

* Pemindahan jantung. Jika kecacatan jantung serius dan tidak boleh dibaiki, pemindahan jantung mungkin menjadi pilihan.

* Ubat-ubatan. Sesetengah kecacatan kongenital jantung ringan di usia kanak-kanak atau dewasa, boleh dirawat dengan ubat-ubatan yang membantu jantung bekerja lebih cekap.

Rawatan ayat Al-Quran

Menurut Islam, pertumbuhan janin itu ada sebahagian sempurna dan sebahagian tidak sempurna.

“..Kami telah jadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu...” (Surah Al-Haj: 5)

“Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadian-mu dan menjadikan susunan tubuhmu yang seimbang Dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu” (Surah Al-Infithaar: 7-8)

Segala sesuatu yang terjadi pada kandungan si ibu adalah rahsia-Nya yang telah ditentukan. Sebagai hamba kita tidak layak mempersoalkan kenapa segelintir manusia itu dilahirkan sempurna sifat atau sebaliknya. Ciri-ciri keturunan di dalam setiap sel kromosom juga adalah hak Allah untuk menentukannya. Hikmahnya, setiap manusia berbeza-beza dari segi fizikal luaran. Sudah tentu setiap pemasalahan ada penyelesaian.

Ayat-ayat berikut boleh diamalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.

Surah Al-Israa’ ayat 40 hingga 55.

Surah Hud ayat 24 hingga 37.

Surah Yunus ayat 35 hingga 47.

Surah An-Nahl ayat 51 hingga 64.

Surah Al-Maaidah ayat 48 hingga 55.

Surah As-Saffat ayat 22 hingga 47.

Baca surah Al-Isra’ tiga kali pada waktu malam dan surah Hud tiga kali pada waktu siang. Amalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, mohon penyembuhan kepada Allah SWT. Selepas membaca dua surah pertama tadi, ulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang seterusnya.

Lebih baik berjumpa perawat-perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami memeriksa jikalau ada sebarang gangguan makhluk halus. Janganlah berputus asa dalam mencari ikhtiar untuk merawat penyakit jantung. Yakinlah bahawa pertolongan pasti akan datang bagi mereka yang mencarinya.

“Kami menurunkan dari Al Quran itu suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman..” – (Al-Israa’, 17:82)

Yang penting, haruslah yakin bahawa segala sesuatu itu hanya boleh berlaku dengan izin Allah. Maka, jikalau ada masanya kita merasakan masalah penyakit jantung itu sudah tidak dapat lagi kita tahan dan perasaan putus asa mula menguasai perasaan kita, cepat-cepatlah ingat bahawa apa yang berlaku merupakan suatu ujian daripada Allah SWT.

*Sumber dari al-bakriah.com.my

0 comments: