Posted by Unknown | 0 comments

[PANAS] Ini Realiti Pertembungan Profesional vs Ulama dalam PAS? Hadoi!

Pertembungan profesional dan ulama' nampaknya terbukti dengan analisis dan kejadian yang berlaku semasa muktamar baru-baru ini? Kekecohan dan pergaduhan yang berlaku sehinggalah kepada adegan baling kerusi, black out, pengundi hantu sehinggalah maki-memaki mengalahkan pemilihan UMNO. Betul ke ini berlaku? Ulama' dibaling batu? Realiti atau fantasikah ini? Jom selongkar...

Gambar sekadar hiasan

Sebenarnya inilah yang TELAH berlaku dan PERLU dilakukan...

Muktamar PAS kali ini memperlihatkan persaingan yang paling sengit, paling tidakpun semenjak Era Kepimpinan Ulama awal 1980-an. Persaingan dan pertandingan merebut jawatan dalam kepimpinan Jawatankuasa PAS Pusat dan dewan-dewan merupakan perkara lazim bagi PAS sebagai sebuah parti politik Islam dan gerakan dakwah Islam bergerak dalam kerangka demokrasi. Kelaziman seperti inilah yang menjadikan PAS terus dinamik dalam menghadapi perubahan zaman sejak awal penubuhannya lagi. Oleh hal yang demikian, terdapat kalangan pemerhati politik dan pengkaji gerakan dakwah tidak melihat apa-apa kelainan dalam Muktamar PAS pada kali ini.

Pandangan ini ada kebenarannya sekiranya Muktamar PAS kali ini sekadar dilihat dari segi persaingan antara individu yang bertanding. Bagaimanapun, sekiranya dilihat kepada gagasan yang dibawa oleh individu yang bertanding, akan dapat diperhatikan dua aliran yang utama iaitu aliran baru yang mahu merubah wajah PAS dan aliran lama yang mahu mengekalkan wajah itu. Kedua-dua gagasan itu diwakili oleh calon yang sesuai bagi merebut beberapa pos penting dalam PAS sama ada peringkat Jawatankuasa PAS Pusat atau dewan-dewan. Lebih daripada itu, kedua-dua gagasan ini mempunyai sokongan ahli-ahli akar umbi, malah dari kalangan mereka yang bukan ahli (penyokong simpati PAS).

Persaingan antara kedua-dua gagasan ini sememangnya sudah ada bibit-bibitnya lebih 10 tahun yang lalu. Bagaimanapun, kedua-dua gagasan ini dikenali dengan jenama yang lain iaitu golongan ulama dan golongan profesional. Berikutan dengan itu, sepanjang dekad yang lalu, persaingan yang wujud dalam PAS lebih dianggap sebagai pertembungan antara golongan ulama dan golongan profesional. Maka setiap kali tiba musim muktamar terutama muktamar pemilihan, akan terpancul ulasan-ulasan bahawa PAS sedang berhadapan dengan kemelut siapa yang seharusnya memimpin, sama ada ulama atau profesional?

Setiap kali terpanculnya ulasan-ulasan tersebut, setiap kali pulalah pemimpin-pemimpin utama PAS menafikan dikotomi ahli-ahli PAS seperti itu. Demi merapatkan semula saf kepimpinan PAS, dikemukakan pula gagasan “memprofesionalkan ulama dan mengulamakan professional”. Terdapat juga usaha lebih kreatif untuk mengendurkan persaingan kedua golongan tersebut dengan menaja kemunculan golongan ketiga yang digelar ‘aktivis’. Namun demikian, apabila menjelang muktamar pada tahun-tahun berikutnya persaingan antara kedua-dua golongan dan dikotomi ahli-ahli PAS kepada ulama dan profesional muncul kembali. Mungkinkah ini menjadi petunjuk bahawa persaingan yang sebenar bukanlah antara golongan ulama dan professional seperti yang disangka?

Sebenarnya, pertembungan yang berlaku dalam PAS adalah antara golongan yang cuba mewajah-barukan PAS dan golongan yang mahu mengekalkan wajah lama. Kedua-dua golongan ini didukung oleh ulama dan professional malah aktivis, justeru tidak wajar menggolongkan pertembungan itu kepada golongan ulama sahaja atau golongan professional sahaja. Mereka yang cuba mewajah-barukan PAS mahu merubah tema perjuangan, strategi dan pendekatan PAS supaya lebih memenuhi keperluan sebagai anggota PR, manakala golongan yang mahu mengekalkan wajah lama cuba mempertahankan tema, strategi dan pendekatan lama PAS supaya terus mendapat kepercayaan pengundi Melayu-Islam.

Semenjak era Reformasi di akhir 1990-an, bibit-bibit pertembungan itu telah bermula sehingga semakin meruncing setiap kali datangnya muktamar. Pada muktamar kali ini, pertembungan itu mungkin telah sampai ke kemuncak sehingga memerlukan satu penyelesaian yang bijak di semua peringkat. Pertembungan kali ini telah disertai oleh kumpulan lebih ramai yang turut disertai oleh golongan muda, malah badan-badan bukan kerajaan dan media-media perdana yang cenderung kepada Umno turut kelihatan berpihak. Menyedari hakikat tersebut, muktamar PAS kali ini seharusnya dijadikan medan untuk mendamaikan pertembungan yang berlaku.

Perlukah Perubahan?

Sekiranya dilontar persoalan, perlukah PAS berubah? atau perlukah PAS berwajah baru? Sudah pasti persoalan ini akan melebarkan lagi jurang pertembungan. Bagaimanapun, sesuatu yang begitu pasti, situasi yang berlaku dalam PAS hari ini adalah situasi ‘abnormal’, iaitu meminjam istilah ‘abnormal science’ yang digunakan oleh Thomas Kuhn. Situasi abnormal ini bermaksud tiada lagi kesepakatan dalam kalangan ahli-ahli PAS dalam perkara-perkara cabang sehingga kadang-kadang kelihatan turut menyentuh perkara-perkara prinsip. Sekiranya situasi abnormal ini diuruskan dengan baik, ia boleh mendorong kepada satu lonjakan baru dalam perjuangan PAS.

Situasi abnormal ini adalah rentetan kepada perubahan kognitif yang telah berlaku dalam kalangan pimpinan dan ahli PAS sejak lebih 10 tahun yang lalu. Perubahan kognitif ini ditandai dengan pandangan dan pendirian yang pelbagai dalam PAS. Apabila perubahan kognitif ini semakin melebar, ia membawa pula kepada perubahan institusi dalam PAS. Perubahan institusi ini ditandai oleh kewujudan DHPP, organisasi penyelarasan antara PAS-PR, penubuhan NGO berkaitan PAS dan lain-lain.

Menurut John Ziman, perubahan kognitif dan perubahan institusi ini lazimnya akan mendorong pula perubahan lebih besar, iaitu anjakan paradigma. Anjakan paradigma ini akan menghasilkan lonjakan baru yang cukup positif dalam perjuangan PAS. Salah satu contoh yang cukup segar berkaitan dengan lonjakan baru ini ialah tema ‘Negara Berkebajikan’, sebagai merujuk kepada sistem kenegaraan yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Hadis. Tema Negara Berkebajikan ini bukan sekadar menjadi satu wacana baru dalam politik Islam dan gerakan dakwah di Malaysia, malah wacana tersebut telah mula menerobos sempadan antarabangsa. 

Oleh sebab itu, tanpa perlu menjawab persoalan di atas, situasi yang berlangsung sememangnya menunjukkan perubahan sedang berlaku dalam PAS. Perkara yang begitu penting untuk dipastikan, perubahan itu berlaku dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh prinsip Islam dan ia membawa kepada masa depan yang lebih cerah kepada PAS. Dengan pengertian lain, situasi perubahan yang sedang berlangsung hari ini dalam PAS perlu diuruskan sebaik mungkin oleh kepimpinan dan ahli parti, justeru muktamar kali ini adalah ruang yang paling sesuai sebagai titik mula.

Perubahan Menurut Islam

Sebagai sebuah parti dan organisasi yang meletakkan Islam sebagai teras, sudah pasti PAS perlu memastikan perubahan yang berlaku menuruti al-Quran dan al-Hadis. Di dalam al-Quran, ayat ke-11 surah al-Ra`ad, Allah SWT menerangkan bahawa perubahan yang berlaku pada sesebuah masyarakat bermula dengan perubahan dalaman yang berlaku pada diri mereka (keimanan). Meskipun ramai mufassirin menafsirkan ayat ini sebagai perubahan dari kebaikan kepada keburukan, petunjuk umumnya tetap menggambarkan kepentingan perubahan dalaman sebagai pencetus perubahan dalam masyarakat.

Rasulullah SAW sendiri menjadi penafsir yang paling jelas tentang perubahan masyarakat seperti yang disebut oleh ayat ini, apabila baginda membuat perubahan besar dalam masyarakat jahiliyah Arab seterusnya masyarakat manusia secara keseluruhan. Perubahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam tempoh 23 tahun, bermula dengan perubahan dalaman atau secara lebih tepat bermula dengan Iqra’ (ilmu). Demikianlah juga sifat perubahan yang seharusnya berlaku dalam PAS pada hari ini, seharusnya digerakkan oleh ilmu dan dipimpin oleh golongan berilmu atau ulama.

Bagaimanapun, ilmu yang menjadi pendorong kepada perubahan itu bukanlah ilmu yang disempitkan oleh pelbagai istilah yang beku dan dibataskan wacananya hanya dalam ruang lingkup bilik kuliah yang pseudo (tidak menggambarkan realiti sebenar). Ilmu yang menggerakkan perubahan itu ialah ilmu digarapkan secara langsung daripada al-Quran dan al-Hadis oleh para mujtahid pada masa kini dengan mengambil pengajaran penting daripada ijtihad ulama masa silam. Sekiranya diperhatikan terhadap tema Negara Berkebajikan, ia muncul melalui susur galur seperti ini.

Perubahan yang harus berlaku pula bukanlah perubahan yang tergelincir dari prinsip yang digariskan oleh kedua sumber asas Islam, iaitu al-Quran dan al-Hadis. Sebaliknya perubahan yang seharusnya berlaku ialah perubahan yang kembali memperkukuhkan prinsip yang sedia ada dengan pendekatan yang baru. Perkataan yang digunakan untuk menggambarkan perubahan ini ialah ‘tajdid’, iaitu mengambil pengajaran daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Bayhaqi dan al-Hakim tentang peranan Mujaddid dalam memperbaharukan urusan Islam.

Sebenarnya, PAS telah mempunyai resepi perubahan seperti ini semenjak penubuhannya. Berkaitan dengan itu, terdapat pengkaji yang mengkategorikan PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang pada masa yang sama merupakan parti politik Islam. Dalam konteks ini, PAS disebut sebagai gerakan Islam yang fundamentalis tetapi modernis. Dengan pengertian lain, PAS begitu tegas mendukung prinsip-prinsip Islam tetapi menggunakan cara-cara moden untuk merealisasikan prinsip-prinsip itu. Meskipun istilah yang digunakan agak kebaratan, tidak dapat ditolak ia paling mendekati tajdid yang diamalkan oleh PAS dalam konteks Malaysia.

Oleh sebab itu, kemelut perubahan yang sedang berlaku dalam PAS diyakini tidak akan memecahbelahkan PAS, walaupun itulah yang dikehendaki oleh pihak lawannya. Pelbagai usaha dilakukan untuk meruncingkan lagi pertembungan yang sedang berlaku dalam PAS, kadang-kadang secara tidak disedari disambut oleh dalaman parti. Mereka yang ‘tersambut’ usaha meruncingkan pertembungan itu sebahagiannya telah terpelanting dan terpencil dari arus perjuangan PAS. Mereka yang menyedari usaha pihak luar itu pula sedang berwacana sesama sendiri untuk melakukan lonjakan baru.

Kepentingan Wala dan Tasamuh

Muktamar PAS pada kali ini, diyakini akan mampu untuk menyelesaikan pertembungan yang sedang berlaku. PAS di peringkat akar umbi telah sepakat menyerahkan kembali teraju kepimpinan kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, sekaligus menunjukkan beliau diterima oleh kedua-dua gagasan yang bertembung. Manakala ditakuk yang lebih tinggi, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang mempengerusikan Majlis Syura Ulama, turut mendapat kepercayaan kedua-dua gagasan. Sekiranya kepercayaan terus diberikan kepada mereka, diyakini pertembungan yang sedang berlaku dalam PAS akan mencetuskan satu lonjakan baru.

Bagaimanapun, kedua-dua tokoh pimpinan PAS tersebut yang dilihat sebagai elemen penyatu masih tidak memadai melainkan perlu ada tasamuh antara kedua-dua gagasan yang bertembung. Tasamuh yang dimaksudkan ialah memberikan penghormatan kepada gagasan pertama (kebanyakannya ulama) untuk mengawasi perubahan dan memberikan kepercayaan kepada gagasan kedua (kebanyakannya profesional) untuk menerokai perubahan. Keseimbangan antara keduanya menjadi satu lagi faktor yang penting untuk memastikan pertembungan tidak menjadi krisis, sebaliknya menjadi lonjakan.

                                      Mohd Zuhdi Marzuki

0 comments: