Posted by Unknown | 0 comments

Zulkifli Tak Puas Hati Isu Kalimah Allah atau DAP ???

Memang saya tidak bersetuju dengan tindakan Anggota Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin membuat laporan polis terhadap Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah.

Perbezaan pendapat mengenai islam sesama islam perlu dibuat melalui dialog demi kebaikan semua. Polis bukan boleh buat apa-apa pun bab-bab agama macam ini.

Namun,jika punca utama ketegangan antara beliau dan pucuk pimpinan PKR adalah kerana karenah atau masalah yang dibawa oleh DAP, semua penyokong Pakatan Rakyat mahupun rakyat Malaysia berhak mengetahuinya. Adakah benar semua bantuan dan sumbangan kerajaan Pulau Pinang dipimpin DAP itu adalah satu sandiwara ?

Seperti yang kita tahu kerajaan Pulau Pinang telah memperuntukkan hampir RM 4 juta untuk pembangunan agama islam di negeri itu melebihi apa yang BN peruntukkan ketika memerintah dahulu. Benarkah semua peruntukan ini hanya untuk mengelabui mata rakyat seperti yang diperkatakan oleh Zulkifli Noordin ?

Memang kita sebagai rakyat biasa tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku dalam Pakatan Rakyat ini melainkan disiarkan kepada umum dengan bukti-bukti yang jelas lagi kukuh. Saya cabar Zulkifli mengemukakan bukti yang kukuh kepada rakyat tentang karenah DAP ini jika benar dakwaannya.

Semalam, beliau telah dipecat keanggotaannya oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) tanpa diberi peluang membela diri dan diminta untuk mengosongkan kerusinya,namun beliau diberi tempoh 14 hari untuk merayu keputusan itu.

Zulkifli, 48, berkata beliau menerima berita mengenai pemecatannya itu melalui rakan pemberita dan menyifatkan ia sebagai permulaan satu titik hitam dalam sejarah perjuangan reformasi yang bermula pada 2 Sept 1998 termasuk kejatuhan dan kehancuran PKR.

"Saya dihukum tanpa diberi peluang membela diri menurut prinsip hak asasi kemanusiaan dan nilai keadilan sejagat seperti yang dilaungkan oleh kepimpinan PKR selama ini. Kepantasan tindakan memecat saya membuktikan kepalsuan slogan mereka.

Zulkifli berkata walaupun diberi peluang membuat rayuan, beliau tidak bercadang untuk terus menggadaikan prinsip dan menjual maruah berhadapan dengan sandiwara Firaun-firaun Kecil dalam parti itu.

Bagaimanapun, beliau akan mengkaji dan menimbang pilihan yang ada sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

Zulkifli berkata pada masa ini telah menjadi satu trend dalam PKR untuk melancarkan serangan peribadi dan 'pembunuhan karektor' yang tidak berasas terhadap sesiapa yang tidak bersetuju atau tidak mahu bersekongkol dengan mereka.

Zulkifli yang juga seorang peguam, dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti bagi menjawab isu berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap rakan sekutu dari PAS, Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.

Khamis lepas, anggota Parlimen yang terkenal dengan tindakan 'menentang arus' dalam PKR itu bertindak keluar daripada sidang Lembaga Displin yang membicarakan kesnya kerana membantah anggota panel terdiri daripada bukan Islam.

Apa pun punca utama beliau bertindak menentang arus, isu kalimah Allah ataupun karenah DAP, kedua-duanya perlu diberi perhatian.

Penjelasan perlu segera diberikan oleh beliau dan juga pucuk pimpinan Pakatan Rakyat. Bentangkan masalah ini satu persatu kepada umum bagi membersihkan nama siapa yang benar, dan membuktikan siapa yang salah.

Siapa sebenarnya yang bersalah dalam hal ini, PKR atau DAP atau Zulkifli Noordin atau BN ???

0 comments: