Posted by
Unknown
|
0
comments
Ketegasan Islam Membuka Pintu Hati Yahudi Ini
Sejak menjawat jawatan sebagai gabenor, Amr bin Al-Ash tidak lagi turut serta di medan pertempuran. Dia lebih banyak tinggal di istananya di Mesir. Di hadapan istananya yang mewah itu terdapat sebidang tanah yang luas dan sebuah pondok usang milik seorang lelaki Yahudi tua. “Alangkah baik dan indahnya jika di atas tanah itu berdiri sebuah masjid”, detik hati si gabenor.
Dipendekkan cerita, Yahudi itu dipanggil mengadap gabenor untuk melakukan proses tawar-menawar bagi membeli tanah milik Yahudi tua itu. Namun keputusannya sungguh mengecewakan. Amr bin Ash sangat kesal kerana si tua itu menolak dan enggan menjual tanah dan pondok buruknya. Ini kerana harga yang ditawarkan oleh gabenor adalah lima kali ganda dari harga pasaran.
“Baiklah jika itu keputusanmu, saya harap anda tidak menyesal!”. Tegas gabenor dengan nada ancaman.
Setelah orang tua Yahudi itu berlalu, Amr segera memerintahkan orang bawahannya mengeluarkan sepucuk surat pemberitahuan bagi membongkar tanah milik Yahudi tersebut. Apabila peristiwa itu berlaku, orang tua tadi hanya mampu menangis kerana tidak berdaya melakukan apa-apa. Dalam situasi mengecewakan itu, terdetiklah dalam hati orang Yahudi itu untuk mengadu keputusan gabenor Mesir kepada Khalifah Umar al-Khattab.
“Ada apa-apa keperluan yang pentingkah wahai datuk, kerana kau datang begitu jauh ke sini?, tanya Umar al-Khattab kehairanan.
Datuk tua itu sebenarnya sungguh gementar berdepan dengan seorang khalifah yang berkedudukan tinggi dan penuh wibawa. Walaupun pada hakikatnya penampilan khalifah Umar amat sederhana dibandingkan dengan keluasan kekuasaan pemerintahan beliau. Setelah degup jantungnya bertambah reda, datuk tua itu mula bercerita bagaimana perjuangannya mempertahankan miliknya dan melaporkan aduan kesnya dengan penuh kesedihan.Merah padam wajah Umar apabila mendengar aduan datuk tua Yahudi itu.
“MasyaAllah, kurang sopan sungguh Amr!”, kecam Umar.
“Sungguh tuan saya tidak mengada-ngadakan cerita walau sepotong ayat”, sahut datuk itu bertambah gementar dan kebingungan. Malah dia semakin bingung apabila Umar memintanya mengambil sepotong tulang lalu menggoreskan sesuatu pada tulang itu dengan pedangnya.
“Berikan tulang ini kepada gabenorku, saudara Amr bin Ash di Mesir,” perintah khalifah Al-Faruq Umar al-Khattab.
“Berikan tulang ini kepada gabenorku, saudara Amr bin Ash di Mesir,” perintah khalifah Al-Faruq Umar al-Khattab.
Orang Yahudi itu semakin kebingungan, “Tuan, adakah tuan sedang mempermainkan saya?” kata Yahudi tua itu dengan suara yang perlahan. Dia mula cemas dan memikirkan perkara yang bukan-bukan. “Jangan–jangan khalifah dengan gabenornya sama saja. Yalah, di mana saja manusia yang majoriti dan memegang tampuk pemerintahan dan kekuasaan pasti akan menindas kaum minoriti. Malah mungkin aku akan ditangkap dan dituduh sebagai seorang subversif,” bisik hati orang tua itu dengan penuh curiga dan khuatir. Namun dia tetap mengadap gabenor Mesir sebagaimana yang diarahkan oleh khalifah Umar al-Khattab.
Setelah menyerahkan tulang goresan Umar kepada gabenor Mesir, datuk tua Yahudi itu semakin tidak faham. Dia semakin tidak faham kerana gabenor Mesir dengan segera memerintahkan sesuatu yang di luar dugaan. “Runtuhkan masjid itu!”, teriak Amr bin Ash dengan nada yang gementar. Wajah gabenor Mesir itu pucat, seperti dilanda satu situasi ketakutan yang amat dahsyat.
Yahudi itu segera berlari keluar dari istana, menuju ke kawasan pondok usangnya bagi melihat akan kebenaran arahan gabenor tadi. Tepat sekali sebagaimana yang dijangkakan. Beberapa petugas sedang bersiap sedia menghancurkan masjid yang tersergam indah yang hampir siap dibina itu.
“Tunggu!”, jerit orang tua Yahudi itu. “Maafkan saya tuan gabenor, tolong jelaskan kepada saya segala peristiwa yang pelik ini? Adakah ia berpunca daripada tulang itu? Apa keistimewaan tulang itu sehingga Tuan begitu nekad membuat keputusan merobohkan semula bangunan yang amat mahal ini? Sesungguhnya saya benar-benar tidak faham?”, tanya orang tua itu bertalu-talu dengan nada yang penuh kehairanan. Amr bin Ash memegang bahu datuk tua itu penuh mesra, “Wahai datuk, sebenarnya tulang itu hanyalah tulang biasa, baunya juga busuk”.
“Tapi…”, datuk tua itu cuba mencelah.
“Namun, kerana ia mengandungi perintah khalifah, maka tulang itu menjadi sangat bererti. Ketahuilah, tulang yang busuk itu adalah peringatan bahawa setinggi mana pun kekuasaan seseorang ia akan kembali menjadi tulang yang busuk. Manakala huruf alif yang digores di atas tulang itu bermaksud kita mestilah berlaku adil sama ada ke atas (di kalangan pembesar) mahu pun ke bawah (di kalangan rakyat biasa). Lurus seperti huruf alif. Dan bila saya tidak mampu menegakkan keadilan, khalifah tidak akan teragak-agak untuk memenggal kepala saya!”, jelas gabenor Mesir itu panjang lebar.
“Sesungguhnya, amat agung ajaran agama Tuan. Sungguh, saya rela menyerahkan tanah dan pondok usang saya itu. Dan bimbinglah saya dalam memahami ajaran Islam,” ujar orang Yahudi itu penuh keikhlasan berserta linangan air mata yang tidak tertahan.
0 comments: