Posted by
Unknown
|
0
comments
Dajajilah dan Dajal
cabaran menanti
oleh Fathul Bari Mat Jahya (ustaz)
SABDA Nabi Muhammad SAW, “Wahai manusia sesungguhnya sejak Allah menciptakan Adam sampai hari kiamat, tidak ada makhluk di muka bumi ini yang fitnahnya lebih besar daripada Dajal.” (riwayat Muslim, no: 2946)
Terdapat banyak hadis Nabi SAW tentang sifat-sifat dajal antaranya;
Nabi SAW bersabda: Dia ialah seorang lelaki yang gemuk, berkulit merah, berambut kerinting, matanya buta sebelah dan mata tersebut seperti buah anggur yang masak -tidak bersinar-. ” (riwayat al-Bukhari, no: 3441)
Sabda baginda lagi: “Di antara dua matanya termaktub tulisan “kafir”. (riwayat al-Bukhari, no: 7131)
Dan dalam satu riwayat:
“Dapat dibaca oleh setiap orang mukmin, baik ia tahu tulis baca mahu puntidak,” (riwayat Muslim, no: 2934).
Sifat-sifat Dajal
Dr. Yusuf ‘Abdillah al-Wabil membuat kesimpulan ringkas tentang sifat Dajal berasaskan hadis-hadis yang sahih bahawa: Dajal ialah seorang pemuda yang berkulit merah, pendek, berambut kerinting, dahinya lebar, bidangnya lebar, matanya buta di sebelah kanan, dan mata tersebut tidak menonjol keluar juga tidak tenggelam, seolah-olah buah anggur yang masak -tidak bersinar dan matanya sebelah kiri ditumbuhi daging yang tebal pada sudutnya. Di antara kedua matanya terdapat tulisan huruf kaf, fa’, ra’, secara terpisah, atau tulisan “kafir” secara bersambung yang dapat dibaca oleh setiap muslim sama ada yang tahu menulis mahupun yang tidak tahu menulis. Di antara tandanya lagi adalah mandul serta tidak mempunyai anak,”. (lihat: Ashraathu al-Saa‘ah, oleh Dr. Yusuf al-Wabil, hal. 277-278, cet. Dar Ibnu al-Jauzi, Riyadh, cet.5, 1995M).
Pengertian “Dajal” dalam bahasa Arab adalah: Segala bentuk pendustaan. Ia juga bermaksud menutup kebenaran dengan kebatilan. (lihat: Syarh Shahih Muslim, oleh Yahya bin Syarf al-Nawawi (w.676H), 1/72, Dar al-Khair, Kaherah, 1996M)
Dusta
Daripada penjelasan di atas, dapatkita fahami bahawa branding yang dibawa oleh Dajal adalah “Dusta”. Perkataannya dusta, perbuatannya dusta, dan segala-galanya ditegakkan dengan pendustaan.
Sabda Nabi SAW: “Tidak ada seorang nabi pun kecuali beliau akan memperingatkan umatnya daripada Dajal. Matanya buta sebelah dan pendusta.” (riwayat Muslim, no:2933)
Bahkan Dajal membuat tawaran dusta syurga dan neraka. Sedangkan syurga Dajal adalah neraka Allah, manakala neraka Dajal adalah syurga Allah. Si Dajal akan ke sana kemari membawa tawaran tersebut untuk mempengaruhi manusia.
Sabda Nabi SAW “Mahukah aku sampaikan kepada kalian tentang Dajal seperti yang telah disampaikan oleh para nabi kepada kaumnya? Dia buta sebelah matanya, membawa sesuatu seperti syurga dan neraka. Yang dia katakansyurga pada hakikatnya adalah neraka.” (riwayat Muslim, no:2936)
Disebabkan pengaruh dajal yang berasaskan dusta sangat berbahaya, Nabi SAW mengarahkan umatnya agar menghalang para isteri dan anak-anak perempuan keluar rumah ketika Dajal muncul.
Sabda Nabi SAW: “Orang yang paling banyak mengikuti dajal adalah para wanita. Maka akan ada seseorang yang akan pulang ke rumahnya, lalu menasihati mertuanya, ibunya, anak perempuannya, saudara perempuannya dan ibu saudaranya kerana khuatir merekaakan keluar menyertai dajal.” (riwayat Ahmad, no:5353)
Kemunculan Dajajilah
Walaupun Dajal yang disifatkan oleh Nabi SAW belum muncul, tetapi branding Dajal iaitu “Dusta” telah bertebaran di atas muka bumi. Pendusta-pendusta ini layak digelar “Dajajilah”. Dajajilah merupakan kata jamak bagi Dajal. Ia merujuk kepada manusia yang bersifat dengan sifat dajal iaitu berdusta.
Mungkin ada pihak yang berkata: perkataan “Dajal” agak keterlaluan untuk diguna pakai. Saya kata: Manusia yang paling mulia iaitu Nabi SAW sendiri menggunakannya untuk menggelar para pendusta. Sabda Nabi SAW: “Akan datang di akhir zaman, dajal-dajal, pendusta-pendusta membawa kepada kalian hadis-hadis yang tidak pernah didengari oleh generasi terdahulu. Hati-hatilah dengan mereka, agar mereka tidak menyesatkan kamu atau melakukan fitnah ke atas kamu”. (riwayat Muslim, no:11)
Hari ini, dajajilah berada di mana-mana. Dalam politik dajajilah beraksi di pentas-pentas ceramah. Menuduh, memfitnah, berdusta, mengumpat, mengaibkan orang lain adalah portfolio dajajilah kini. Perkataan seperti, “dia rompak wang rakyat”, “dia makan duit zakat”, “dia penzina dan peliwat”, “dia kafir dan sesat”, “dia ahli neraka kita ahli syurga”, “mereka ulama upahan kita ulama Tuhan” dan lain-lain lagi mewarnai politik Malaysia. Hanya kerana berbeza ideologi politik, umat Islam bercakaran sesama sendiri.
Mana bukti? Mana saksi? Tuduhan, fitnah dan menyebarkan aib musuh dilakukan hanyalah untuk merosakkankarier politik seseorang.
Lebih menyedihkan sebahagian agamawan turut melibatkan diri dengan agenda dajajilah. Mereka tidak segansilu menuduh, memfitnah orang yang dilihat tidak sealiran. “Bodoh, bengong, beruk bahkan kafir sesat, kekal di neraka” menjadi perkataan yang sangat ringan diucapkan dan disandarkan kepada musuh-musuh mereka. Mereka teruja dengan tepukan, mereka berbangga dengan sorakan dan pujian.
Isunya adalah sikap tidak meneliti dan menganalisis sebelum menghukum. Jika tidak mampu atau tidak mahu menganalisis, maka jangan menghukum. Mana mungkin seorang ilmuan berbicara tanpa fakta. Jika pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak kerana keraguan pada bukti, maka lebih-lebih lagi dalam hal-hal agama.
Maka tolaklah mana-mana pendapat yang tidak bersandarkan bukti. Bagi yang menghadiri kelas-kelas pengajian ilmu sesiapapun, maka mintalah bukti dan fakta atas setiap hukum yang disebutkan. Kadang kala kecuaian kita menyebabkan dajajilah bermaharajalela.
Takutilah Muflis Akhirat
Takutilah kita semua dengan ancaman muflis di akhirat. Muflis di dunia mungkin ada pembantunya, tetapi muflis di akhirat pasti merana selamanya.
Sabda Nabi SAW: “Tahukah kamusiapakah itu orang yang muflis?”, Para sahabat menjawab, “Orang yang muflis ialah orang yang tidak ada dirham atau tidak ada harta benda”.
Sabda baginda: “Sesungguhnya yang muflis daripada umatku, dia akan datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan zakat. Dan dia datang dengan dosanya mengutuk sifulan, dan dosa dia menuduh sifulan berzina, dan dosa dia telah makan harta sifulan, dan dia telah menumpahkan darah sifulan, dan dia telah memukul sifulan. Maka diberikan kepada fulan-fulan yang dia zalimi daripada kebaikannya. Jika habis kebaikannya sebelum diselesaikan segala kezalimannya, maka diambil daripada kesalahan-kesalahan orang yang dizaliminya dan dicampakkan ke atasnya. Kemudian dia dicampakkan ke neraka” (riwayat Muslim, no: 2581)
Bagi yang telah terlanjur, pintu taubat masih terbuka. Bagi yang menjadi mangsa, kemaafan dan kesabaran adalah pengubat jiwa.
sumber:IADC
0 comments: