Posted by Unknown | 0 comments

MURSYID dan LADUNI

kasyaf dalam redha Allah
Ilmu ladunî diperoleh manusia melalui penyampaian langsung (mukâsyafah). Untuk memperoleh mukâsyafah, ia memerlukan proses yang panjang yang harus dijalani oleh manusia. 
Hal ini, kerana Tuhan (sebagai pemberi ilmu) adalah Dzat Yang Maha Suci, yang akan memberikan ilmu ladunî itu hanya kepada jiwa tertentu yang telah suci.

Manusia yang ingin memperoleh ilmu ladunnî, maka harus memiliki cara-cara atau prasyarat-prasyarat tertentu. Salah satunya adalah dengan proses “penyucian jiwa” (al-Ghazâlî membahasakanmya dengan istilah “Tazkiyah al-Nafs”).


Dalam proses pensucian jiwa itu memerlukan langkah-langkah antara lain:
Pertama, dengan melakukan takhallî, yakni upaya pengosongan jiwa dari sifat-sifat tercela;

Kedua, dengan
tahallî, yakni mengisi jiwa yang telah terkosongkan itu dengan ahklak-akhlak terpuji; dan

Ketiga adalah 
tajallî, yakni ketersingkapan dan atau hasil yang nampak berupa kurnia keistimewaan atau karâmah yang dimiliki manusia setelah melalui dua proses takhallî dan tahallî.
Pada tahap tajallî inilah ilmu ladunî singgah. -  al-Ghazâlî


Cahaya

Harus diketahui bahawa "ILMU LADUNI" adalah penyerapan Nur Ilham yang terjadi selepas penyempurnaan (JIWA) sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Demi satu jiwa serta Yang Menyempurnakannya" (Surah Al-Syams:7). Jiwa yang bersih dan suci bakal menerima pancaran NUR (cahaya) rohani yang benar lagi membenarkan.

Bukan semua jiwa layak menerima pancaran LADUNI ini.

Perjalanan atau Perkembalian (kepada asal - fitrah) adalah dengan tiga cara: 

1. Mempelajari semua ilmu dan mengambil sebahagian yang lebih besar dari kebanyakannya. (Penjelasannya: ialah dengan mempelajari dasar-dasar semua ilmu, kemudian kebanyakan dari ilmu-ilmu ini hendaklah diketahui pula sebahagian yang lebih besar dari kandungan. Katakanlah lebih daripada 50%). 

2. Latihan yang benar dan Murraqabah yang betul, kerana Nabi SAW. pernah menunjukkan kepada hakikat ini dengan sabdanya yang bermaksud: "Siapa yang beramal dengan apa yang telah diketahuinya, Allah akan mempusakakan Ilmu mengenai apa yang belum diketahuinya". Bersabda lagi Nabi SAW. yang bermaksud: "Siapa yang menyerahkan dirinya untuk Allah (beramal) selama 40 pagi, Allah Taala melahirkan mutiara-mutiara hikmah dari Qalbu ke atas lidahnya". 

3. Berfikir; bahawa jiwa itu bila beramal (menerusi ilmu-ilmu yang dipelajari) dan berlatih (beramal) dengan (keadah) ilmu kemudian berfikir mengenai maklumat menurut syarat-syarat berfikir, akan dibuka kepadanya pintu ghaib seperti seorang ahli perniagaan yang menyelenggarakan hartanya dengan syarat-syarat (yang ditentukan untuk) penyelenggaraan, akan dibuka kepadanya pintu-pintu keuntungan. 

Bila ia melalui jalan yang salah ia akan jatuh di dalam kerugian. Sekali melakukan kesalahan, sesaorang itu bakal melakukan kesalahan berikutnya. Begitulah seterusnya. Jiwa yang tercemar akan hilang cahaya dan pastinya akan menyerah diri kepada alam kegelapan. Alam kegelapan adalah alam syaitan yang dilaknat. Contoh sesaorang yang berdusta untuk menyelamat maruahnya terpaksa melakukan dusta kedua dan seterusnya demi menutupi dusta sebelumnya. 

Begitu juga sebaliknya seperti contoh: seorang pemikir itu, bila ia menempuh jalan yang betul ia akan menjadi seorang yang bijaksana dan terbuka saluran dari Alam Ghaib dalam Qalbunya; lalu ia menjadi seorang Alim yang sempurna, beraqal, berilham lagi mendapat pertolongan (dari Allah) sebagaimana sabda Nabi SAW. yang bermaksud: "Berfikir sesaat itu lebih baik daripada beribadat selama 60 tahun".

Syarat-syarat berfikir juga ada kaedahnya. Tetapi  cara dan hakikatnya adalah suatu yang samar, memerlukan penerangan yang agak lanjut dan penjelasan dengan pertolongan Allah Taala. Cukuplah dengan mengambil pendekatan mudah iaitu cuba ikhlaskan diri dan berfikirlah dengan hati bersih meninggalkan syak wasangka. 

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesiapa yang Allah tidak kurniakan kepadanya Nur, nescaya tidak ada baginya sebarang Nur". (Surah An-Nur:40) 

Dan Allah yang menjadi Wali orang-orang Mukmin, 



Cara Mencapai Makrifat

Masalah Syariat, Tariqat, Haqiqat dan Makrifat adalah bidang-bidang atau cabang ilmu yang sangat khusus dan amat berbeza disegi pendekatan dan sumber perantara lmu itu.

Pertelingkahan antara Ulama Haqiqat dan Ulama Syariat telah berlaku sejak dulu lagi. Mereka sebenarnya "betul" dalam bidang masing-masing. 

Sebagaimana berlaku antara Nabi Musa dan Nabi Khaidir. Nabi Musa, walaupun seorang Nabi, beliau tidak mempunyai Makrifat. Jadi beliau menghukum sesuatu kejadian berdasarkan ilmu Syariat yang beliau tahu. Nabi Khaidir pula dikurniakan Allah ilmu Makrifat, jadi beliau menghukum sesuatu mengikut ilmunya. Jadi dalam perjalanan bersama-sama Nabi Musa, Nabi Khaidir telah membunuh seorang budak, membangun semula rumah yang telah hampir musnah dan mengapak kapal yang beliau tumpangi. 

Perbuatan ini amat bersalahan dengan Syariat Nabi Musa. Kerana tidak sabar, Nabi Musa menegur perbuatan Nabi Khidir. Dengan itu mereka terpaksa berpisah sebagaimana perjanjian yang telah dibuat sebelum perjalanan. Nabi Khaidir berbuat demikian kerana pada pandangan Makrifatnya, budak itu mesti dibunuh kerana ia bakal menjadi anak yang nakal, sedangkan ibu/bapanya orang yang solleh. 

Dibawah bangunan lama terdapat harta anak yatim yang belum dewasa. Dalam perjalanan dengan kapal, Nabi Khaidir merosakkan sedikit (melubangi) kapal yang ditumpanginya supaya tidak dirampas oleh Raja yang zalim di pelabuhan yang mereka akan singgah. Raja ini akan merampas kapal-kapal yang baik. Dalam hal ini Nabi Musa betul dengan ilmunya dan Nabi Khaidir betul dengan ilmunya. 

Seperti juga yang berlaku pada Halaj (Abu Mansur), seorang wali Allah. Ia dihukum bunuh oleh gurunya sendiri kerana dikatakan mengaku dirinya Allah dengan berkata `Anal Haq'. Pada pandangan Feqah (ilmu syariat) beliau telah bersalah dan perlu dihukum bunuh. Setelah kepalanya dipancung, darah tersembur dan membentuk perkataan "La ila ha illa llah" dipermukaan tanah. 

Dalam hal ini, ahli Syariat yang menjatuhkan hukum tidak bersalah begitu juga Halaj juga tidak bersalah. Halaj berkata demikian kerana terlalu 'Zuk" atau telah fana di dalam kewujudan Allah SWT. Sumber hukum untuk masyarakat umum dalam Islam mestilah berlandaskan Syariat. Syariah adalah hukum untuk masyarakat umum dan bersifat duniawi. Ini adalah untuk menjadikan hukum Islam kukuh bersistematik sebagaimana diamalkan oleh Rasulullah SAW. 



Laduni dan Kasyaf

Laduni dan Kasyaf sebenarnya bukan ilmu. Ia merupakan cara ilmu itu disampaikan. Laduni bermaksud Allah memasukkan terus maklumat berkenaan sesuatu perkara kedalam pengtahuan sesaorang itu. Tidak melalui pendengaran atau penglihatan. Dengan perkataan lain tidak ada guru. 

Kasyaf bermaksud keupayaan seseorang itu melihat perkara-perkara ghaib yang tidak nyata pada mata kasar. Pandangan kasyaf ialah pandangan menggunakan mata basir (mata batin atau mata rohani). Kalau mata kasar menggunakan cahaya (sinar cahaya matahari atau lampu) untuk melihat, mata basir menggunakan "NUR" untuk melihat.

(Untuk mudah fahaman, kita boleh mengambil contoh berikut: bagaimanakah diri nampak sesuatu ketika bermimpi dalam tidur padahal mata zahir terpejam)

Kekuatan mata basir berbeza-beza. Paling rendah boleh melihat dimensi jin (dan syaitan). Peringkat lebih tinggi boleh melihat dimensi malaikat (alam malakut), kemudian dimensi roh. Paling tinggi ialah dimensi ketuhaan (Alam Lahut).

Jadi ilmu-ilmu ini walaupun semuanya sumbernya dari Allah SWT, ia disalur melalui cara yang berbeza. Sesuai dengan Ilmu Syariat yang bersifat zahir (paling rendah dan bersifat awam). 

Membicara perkara-perkara yang zahir semata-mata, penyampaiannya juga mesti menggunakan peralatan zahir juga, seperti guru zahir, kitab-kitab yang bersumberkan Quran dan Hadith Rasulullah SAW.

Dari sini akan bermulalah perjalanan seterusnya kepada perkara-perkara ghaib pula dengan bantuan guru mursyid. Guru Mursyid menjadi pemandu arah kepada sang murid yang masih teraba-raba dalam gelap. Sehingga mata basirnya celik, tidak lagi buta dan meraba.

Matlamat sebenar ialah untuk masuk ke alam ghaibul ghuyup (Ghaib Dalam Ghaib) yang tentunya memerlukan bantuan guru yang yang lebih tinggi darjatnya. Guru jenis ini tak perlu dicari. Ia akan datang sendiri atas perintah Allah Azzawajalla.

Tariqat ialah jalan atau cara-cara untuk mempertingkatkan IMAN, TAQWA dan seterusnya mendapatkan keredhaan Allah SWT. 

Jadi, untuk mendapatkan keredhaan Allah, mestilah menggunakan jalan atau peraturan yang diredhai Allah. Apabila sesorang pengamal tariqat beramal bersungguh-sungguh dengan ikhlas di bawah panduan seorang guru yang mursyid, darjat IMAN dan TAQWAnya meningkat dari hari ke sehari. Hasil dari peningkatan ini, "dirinya" yang berada dalam diri zahir (jasad), menjadi bertambah kuat dan sihat. Dari sini murid akan mula faham apa itu jasad, diri dan roh.

Mata basirnya semakin terang sehingga pada suatu masa, cukup kuat sehingga boleh melihat alam ghaib atau kasyaf. Setelah kasyaf dan sudah melihat dimensi-dimensi yang dijelaskan tadi, IMANnya meningkat dari ILMU YAKIN kepada AINUL YAKIN. 

Kalau dahulu murid itu yakin adanya alam ghaib kerana percaya kepada ilmu syariat (yang dipelajari). Tetapi kini telah melihat sendiri adanya alam ghaib tersebut. Naiklah darjat menjadi AINUL YAKIN (Ain bermakna mata). Jelas pada penglihatannya.

Kemudian Allah membuka lagi lautan ilmu (maklumat) berkenaan dengan Rahsia Allah kepada murid ini melalui guru-guru ghaib pula yang terdiri daripada Wali-wali Allah atau ALLAH memberi terus melalui Laduni. 

IMAN murid tadi meningkat lagi sehingga mencapai HAQQUL YAKIN. Iaitu yakin sebenarnya-benar yakin. Inilah darjat yakin para Nabi-nabi. Setelah mengtahui rahsia-rahsia kejadian alam ini, maka dikatakan murid tadi telah mencapai HAQIQAT (Yang Haq). Iaitu mengtahui kejadian makhluk Allah di segi zahirnya dan ghaibnya (batinya). 

Setelah mendapat HAQIQAT, seterusya murid tadi dengan kurniaNYA, akan ditambah lagi ILMUnya sehingga mengenal KHALIQ, Yang Maha Pencipta iatu ALLAH YANG MAHA PERKASA. Inillah dikatakan telah mendapat MAKRIFAT. Ia itu mengenal ALLAH sebagaimana ALLAH sendiri memberi tahu mengenai diriNYA.

Sebagai kesimpulan, Tariqat itu masih berbetuk syariat kerana ia ilmu zahir. Hasil dari amalan tariqat, seseorang itu dikurniakan Haqiqat dan Makrifat. 

Guru mursyid 

Guru mursyid ialah guru yang telah mendapat sekurang-kurangnya mencapai peringkat Haqiqat kalaupun tidak sampai kepada Makrifat. 

Jika kita bukan ahlinya, tak perlulah menjadi seperti orang buta yang cuba menceritakan bentuk seekor gajah. Orang buta yang pegang belalai tentu mengatakan gajah itu seperti ular. Orang buta yang pegang kaki, kata gajah macam tiang, begitulah seterunya. 

Berkenaan persoalan bagaimana hendak membezakan sama ada sumber ilham atau guru ghaib itu yang haq (wali-wali misalnya) atau batil (syaitan). Sebagai guru mursyid, amat mudah baginya untuk mengesan apa yang terjadi kepada murid di bawah bimbingannya. Guru mursyid juga akan dapat membantu muridnya untuk segera memperbetulkan langkah. 

Guru mursyid dapat melihat dengan mata basir dan dapat mengenal siapa sebenarnya yang datang. Syaitan memang pandai merupa (menyamar), tetapi harus diketahui, mata basir amat tajam sehingga syaitan itu juga boleh dibunuh melaluinya. Sebab itu mempelajari ilmu yang berkaitan perkara ghaib perlu berguru dengan guru zahir yang mursyid.

Kalau berbicara masalah Tariqat, tak perlulah bertanyakan tentang hadis atau nasnya. Lihatlah siapa yang mengajar dan siapa pula muridnya. Mana salsilahnya. Tariqat yang betul, tariqat yang salah kedua-duanya juga jelas. 

Kalau amalan Tariqat tersebut bersalahan dengan Syariat, jangan ragu lagi. Pasti salah. Seperti solat tanpa kelakuan atau solat niat atau dipanggil juga solat batin, tentu salah kerana ia bersalahan syariat. Solat mesti ada tiga syarat iaitu niat, berkata-kata dan kelakuan. Kalau tidak menjaga aurat, bercampur laki-laki dan perempuan juga salah. 

Bahkan, semakin tinggi seseorang itu dalam perjalanannya menuju keredhaan Ilahi, semakin lazat dan merindui solat, pastinya dia sangat kasih malah akan giat mengerjakan solat. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, baginda asyik dalam solatnya, melakukan solat malam sehingga bengkak kakinya. Kalau semakin menjauhi solat atau sembahyang, sahlah syaitan atau ketua syaitan ia itu Iblis yang menjadi gurunya.

Harap jangan lakukan dosa ini pula. Perlu diingat jika sesaorang itu tidak menampakkan kelibatnya bersolat, jangan sekali-kali menghina, menuduh atau menganggap dia tidak pernah solat. Ini juga hal yang penting.

Solat itu merupakan "persembahan"  hamba kepada khaliknya bukan untuk dipertunjukkan kepada manusia atau untuk dipuji manusia. Ketahuilah memang ada manusia yang menyembunyikan amalnya dari diketahui manusia. Mereka terdiri dikalangan ahli haqiqat dan makrifat. Bagi mereka, mereka amat takut kepada bahaya "syirik" terhadap Allah walaupun ianya dipandang remeh oleh masyarakat ramai.

Sebagai kesimpulan, jalan selamat untuk menjadi orang yang diredhai Allah SWT, mesti bermula mempelajari dan mengamal Tariqat (tariqat hanyalah kaedah atau jalan). Sesaorang yang mengamal Tariqat telah tahu dengan yakin sama ada segala amalannya diterima atau tidak oleh Allah SWT sebelum ia meninggal dunia lagi. Ia masih boleh diperbetulkan sebelum mengadap Ilahi. 

Bahkan diantara mereka ini mungkin layak dilantik menjadi Wali-Wali Allah. 

Orang syariat hanya mendapat tahu sama ada Allah redha atau tidak setelah mereka mati. Ini sudah terlambat kalau terdapat kesilapan dalam amalan sehingga tidak diterima Allah SWT.

Akhir kata, Selawat dan Salam ke atas Sayyidina Muhammad dan Ahli Keluargnya dan Sahabatnya. Cukuplah Allah yang menjadi Wakil. Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Besar. Bermula segala puji-pujian itu bagi Allah Seru Sekelian Alam. Semoga Allah memberkati usaha hambaNya dan melimpahkan rahmat kasih sayangnNya di dunia dan akhirat. Allahu A'lam.

Assalamualaikum wb.
Bab Ilmu ini akan disambung.... InsyaAllah

0 comments: