Posted by Unknown | 0 comments

Islam Liberal semakin terserlah - sentuhan politik



Tuntutan duniawi melampaui tuntutan ukhrawi. Intipati pegangan Islam Liberal, musuh utama umat di akhir zaman. Ia merebak dengan cara halus dan memerangkap mangsanya perlahan-lahan umpama air meresap ke dalam tanah. Masalah yang sukar dirungkai walaupun kewujudannya nyata di hadapan mata.

Sekumpulan manusia telah menerima Islam Liberal sebagai cara hidup mereka dan bilangan mereka semakin ramai setelah ada usaha secara teratur dilakukan oleh tokoh Islam Liberal Malaysia. Walaupun begitu mereka melakukannya secara rahsia dengan menyembunyikan identiti diri masing-masing disebalik beberapa pergerakan.  Mereka berada di semua peringkat kehidupan. Mereka menghalalkan pemurtadan ummah, itulah cara terbaik untuk mengenali mereka.

Adakah mereka sudah diserap dengan fahaman Pluralisme
 sehingga membenarkan mereka menyerupai tindakan 
orang Nasrani seperti ini?

Demi keselamatan, penulis tidak akan menyatakan individu terbabit. Maklumat ini belum dapat dipaparkan buat waktu ini. Terserahlah kepada pembaca menilai dan mencari tokoh-tokoh ini. Jika anda kata mereka hanya berada di belakang pemimpin pembangkang, ianya tidaklah benar. Sekiranya diteliti, ia akan kelihatan semakin jelas. Islam Liberal telah pun diterima atau lebih sesuai disebut dianuti oleh sebilangan pemimpin dan kakitangan kerajaan. Walaupun begitu, ia tidak akan ditonjolkan secara terbuka buat masa terdekat untuk mengelak dari kehilangan populariti.

Pada pengamatan saya sebahagian besar penganut Islam di Malaysia masih menolak Islam Liberal ini terutama yang ada asas agama kerana ia dianggap "menghampiri kekafiran" ataupun membawa ke arah kesesatan. Namun begitu kita dapat lihat ada sesuatu yang sedang berlaku. Beberapa watak dikesan sedang berusaha mengambil tempat di dalam pertubuhan Islam popular. Selain NGO mereka juga mulakan langkah menguasai parti politik Melayu Islam. Secara tidak langsung, Islam Liberal akan diketengahkan melalui beberapa jenama lain. Dari sinilah Islam Liberal bakal menyusur untuk menguasai masyarakat Islam tanpa disedari.

Perkara penting  yang boleh dilihat ialah keghairahan berpolitik. Tidak kira dari kem mana. Agama dikesampingkan demi mendapat nama dan kemasyhuran.  Sekiranya mereka masih kukuh berada dalam pegangan Ahlussunah Waljamaah, perkara sedemikian tidak akan berlaku. Jemaah Sunni sebenar akan menolak keghairahan, radikalisma, provokasi dan sentiasa memilih untuk menerima ketetapan dengan redha. Memilih jalan sederhana serta mengagungkan sunnah Nabi saw.

Inikah cara Islam sebenar? Indonesia. Atau permainan Islam Liberal?

Sebaliknya, Islam Liberal mengutamakan keduniaan dan segala perhiasannya. Tafsiran mereka, manusialah yang menentukan segalanya walaupun tuhan itu wujud. Mereka mengambil mekanisma keajaiban kejadian manusia dan menganggap tuhan menjadikan dunia ini khusus untuk manusia. Ada yang lebih berani menghujah bahawa tuhan sebenar ialah manusia itu sendiri. Jauh lebih terpesong dari fahaman Wahdatul Wujud.

Entiti ghaib seperti Malaikat, Jin, Syurga, Neraka, Siksa kubur dan sebagainya tidak wujud secara fizikal pada pandangan mereka. Itu semua hanyalah maklumat yang berbentuk kiasan dan perlu diterjemahkan semula. Pemikiran sains modenlah mendorong halacara kefahaman liberalsma ini termasuk juga Islam Liberal. Akhirnya ia dibawa menuju Pluralisma, menyamakan semua agama. Noktah.

Liberalisma sebenarnya tidak banyak beza dengan sekularisma. Barat menciptakan satu sistem kehidupan tamaddun baru di Eropah yang diberi nama sekular. mengasingkan agama dari politik. Ramai yang telah terpikat dengan kejayaan barat ini dan mula sangsi dengan agamanya sendiri termasuk penganut Islam.

Memandangkan sekular semakin dikeritik dan dianggap tidak praktikal untuk umat Islam, muncullah gagasan yang mempopularkan liberalisma. Tujuannya untuk terus menguasai saki baki penganut Islam yang menolak sekularisma ini. Menawan pihak yang masih mahu jenama Islam berada dalam perjuangan politik. Kerana itu satu corak baru diketengahkan yang kelihatan lebih islamik di mana asalnya dari baju sekularisma juga.

Mereka yang mempopularkan Liberalisma ini tetap berpaksi perjuangan demokrasi sekular. Buktinya jelas, kita dapat lihat peranan NED dan Asia Foundation misalnya. Matlamat mereka ialah politik. Islam Liberal dijadikan tapak memisahkan penganut Islam dari kehidupan beragama dan menarik mereka mencintai dunia. Lihat artikel sebelum ini.

Beberapa tokoh tertentu telah ditawan sepenuhnya oleh fahaman Liberal tetapi tetap tidak sanggup mengakuinya. Sama ada tidak disedari ataupun cuba menyelamatkan diri. Secara tidak langsung mengajar para pengikutnya cara untuk berlaku tidak benar, berbicara bohong, memutar belit isu atau memilih cara hidup di luar moral. Kerosakan ini hanya diketahui oleh sebilangan kecil dari kita terutamanya yang berjaya mengesan kehadirannya. Sebahagian besar atau kebanyakannya masih tidak tahu.

Sekarang kita boleh tahu kenapa sejak kebelakangan ini orang Islam semakin ghairah memuja tokoh tertentu dan menghalal cara termasuk penipuan, cemuhan dan fitnah demi memenangkan tokoh tersebut. Perkara yang dilarang dalam agama antaranya berkata bohong, mencerca, menghina, memfitnah dan sebagainya telah dianggap perlu (dharurah?), sehingga tidak lagi diambil peduli.

Kita boleh lihat sekarang beberapa laman atau blog atau lain-lain laman sosial yang diuruskan oleh orang Islam yang pada luarannya dilihat memperjuang Islam juga telah menerima pakai halacara Islam Liberal yang sesat ini. Maksudnya, terdapat kata-kata lucah, kata-kata menghina dan ada juga yang sanggup memaparkan cerita atau gambar lucah tanpa rasa bersalah. Saya sedih bila sebuah pertubuhan Islam (termasuk parti politik) membawa budaya bukan Islam dalam ceramah dan tulisan walaupun mereka sering melafazkan ayat-ayat suci.

Nyatanya Islam tidak meresap ke dalam hati. Ia hanya berligar di dalam fikiran didorong oleh keinginan nafsu ghairah.

Jenerasi mendatang pastinya lebih parah. Keadaan semasa akan membentuk kefahaman mereka mengenai agama. Mereka akan  dikuasai sepenuhnya sistem hidup yang ditawarkan oleh Islam Liberal ini kecuali sedikit yang diselamatkan oleh Allah hasil dari didikan sempurna keluarga.

Semoga membantu memahami keadaan semasa yang dicetuskan oleh pergerakan Islam Liberal di Malaysia. Maaf jika terlanjur.

Wallahu a'lam

0 comments: