Posted by
Unknown
|
0
comments
Penat Memerhati Citrasangka Penawar Syurga
hanya untuk tuan BEAN
Ada sebahagian lagi sanggup menghina agama sendiri atas nama keagamaan. Ini lebih parah. Menggunakan agama untuk rosakkan agama. Baik secara langsung atau tidak langsung. Sebaliknya jika berlaku kerosakan, mereka bersegera menuding jari kearah lain. Meletakkan kesalahan ke atas kepala orang lain, kebiasaannya kepada musuh mereka. Mereka tidak mahu bersama-sama bertanggung jawab dan sama-sama membaikinya.
Semua pekerjaan termasuk kerja amal perlukan upah. Kebajikan jika dihulur mesti bersertakan soalan "apa yang akan saya dapat?"
Kita telah dianugerahkan seorang pemidato hebat yang dikatakan berkarisma, petah berhujah. Malangnya hanya memetik hadis dan ayat suci untuk berseronok dan mentertawakan orang lain. Hujahannya bukan membantu memperbaiki masyarakat, sebaliknya untuk keuntungan peribadi.
Mampu memukau puluhan ribu orang sekaligus dengan kelancaran dan kelantangan berceramah, fasih, petah dan penuh bergaya. Untuk apakah anugerah ini digunakan? Hanya untuk mengeji, menghina dan memburuk-burukkan orang lain. Anehnya apabila ada orang lain mempertikaikan kata-katanya, secepat kilat dia membalas disisip bersama cercaan lucu dan disambut pula gelak ketawa orang ramai. Semua keburukan dirinya jika diperkatakan akan dianggap sebagai fitnah dan dengki manusia lain kepadanya. Terpacullah perkataan yang kurang sopan dan tuduhan.
Di sisi lain, wujud anak-anak yang baharu kenal huruf cuba mengajar orang yang lebih dewasa darinya. Tanpa rasa hormat, mengeji hina sesiapa yang tidak bersetuju dengannya. Mendabik dada bahawa dialah yang lebih tahu, lebih alim, lebih faham dan lebih warak. Akhirnya mengangkat martabat diri sendiri setaraf ulama. Menawarkan syurga kepada pengikutnya.
Cukup melemaskan.
Kemungkinan masanya sudah tiba. Kita semua sedang bergerak menuju ke satu persimpangan yang amat saya takuti sebelum ini. "Malaysia in the eye of Dajjal". Ya kita sedang dihanyutkan, dibawa arus yang sangat laju sehingga tiada berpeluang menoleh ke tebing untuk selamatkan diri. Masa juga berlalu semakin pantas. Manusia menjadi sangat sibuk, ada yang rakus dalam mencari keperluan dan kepuasan dalam kehidupan.
Bagi mana-mana pembaca yang tidak bersetuju dengan saya, saya anggap mereka bukannya bermaksud memusuhi saya sebaliknya tidak dapat memahami saya. Saya sentiasa memaafkan mereka dan kepada mereka tak perlulah memohon maaf dari saya. Mereka bersangka sebagaimana sangkaan yang ada pada diri mereka. Mereka menilai saya sebagaimana memahami kehendak mereka sendiri. Ramai yang berilmu tetapi gagal memahami apa yang sedang saya bawa, apa yang saya junjung, apa yang saya pikul. Bagi saya itu bukan kesalahan mereka.
Keringat sudah menjadi semakin sejuk, badan terasa semakin penat dan minda pula semakin layu. Maafkan saya. Saya tidak mampu memahamkan anda semua sebagaimana yang saya faham lantaran beberapa kekangan yang wujud pada diri anda sendiri. maka saya bertawakkal, semoga Allah jua yang akan melindungi anda semua.
Memandangkan umur semakin lanjut, ada baiknya saya berihat. Tumpu kepada diri sendiri dan keluarga, bukan berarti mementingkan diri dan mengabaikan khalayak yang perlukan nasihat. Saya perlu mengubah cara atau beralih arah menghirup udara segar agar bersemangat untuk kembali semula, itupun jika diizinkan.
topeng menguasai diri
Dia, makhluk kutuk dan tenteranya sudah ada di sini. Dihadapan kita, di kiri, di kanan, di belakang, malah telah masuk ke dalam sanubari diantara kita semua. Ada di antara kita sudah pun dikuasainya. Diarak ke sana kemari menjalankan tugas mengikut kemahuannya. Melakukan sesuatu yang mungkar tetapi pada sangkaan kita sedang melakukan kebaikan. Ada diantara kita bersedia ke syurga dengan melakukan tugasan secara suka rela, bertugas tanpa bayaran. Ikhlas tetapi tersalah alamat. Mengharapkan syurga sebaliknya sedang diusung ke neraka.
Jika ada diantara anda yang sedang melakukan kerosakan sedemikian dan mendorong atau memaksa orang lain bersama anda melakukan kerosakan yang sama, saya doakan semoga dibuka pintu makrifat untuk anda bagi melihat apa yang ada disebalik penglihatan mata kasar dan sangkaan anda. Atau sekurang-kurangnya merasa jijik dengan tugasan kebajikan palsu itu.
Allah sudah tunjukkan semuanya, nyata-nyata. Namun bila hati sudah menjadi keras, mata hati akan tertutup rapat walaupun anda sangka anda seorang yang warak penuh keimanan. Belum cukup. Belum cukup hanya dengan menyangka semata-mata. Apa tanda keimanan anda? Bagimana anda pasti? Sudah disaksikan oleh seluruh jasad?
Maafkanlah saya, saya bukan orang alim jauh sekali bertaraf ulama. Saya juga bukan seorang yang warak serta penuh ilmu kitab. Saya sedar dan tahu bahawa saya hanya seorang fakir, seorang yang jahil. Entah satu murakkab atau dua, tiga murakkab pun saya tidak tahu kerana yang tahu hanyalah Dia. Saya hanya dianugerahkan untuk "tahu" sedikit cebisan dari lautan ilmu Nya.
Ramai yang masih leka dibuai ujub, riak, takbur, sombong, bongkak dan semua ini membawa manusia menuju kesesatan. Inilah dia kehidupan yang dikatakan sia-sia dan tak bermenfaat. Akibat pembawaan sebeginilah menyebabkan kita gagal mengesan kehadiran Dajjal. Dia tak perlu datang bersama jasad. Itulah keistimewaannya. Dia superhuman. Immortal. Tajam penglihatan. Genius dan banyak lagi kelebihannya yang diizinkan Allah untuknya. Tak tahu bagaimana saya boleh gambarkan, nanti ada yang kata saya tak siuman. Senang cakap, wakilnya (wali Dajjal) sahaja pun kita tak mampu hadapi, kita tewas tersungkur tanpa sedar.
Terlalu nyata kehadirannya, memang nyata penzahiran di hadapan mata. Tersihir dan tersilau mata manusia apabila cuba memandangnya. Jika tidak berlaku sangka-sangkaan bukalah fitnah Dajjal namanya. Penglihatan manusia terhadapnya menjadi terbalik. Baik disangka jahat dan jahat disangka baik. Mulia dianggap hina dan hina bertukar jadi mulia. Berilmu disangka jahil sementara yang jahil dianggap berilmu. Oh ya, mungkin membosankan pula. Cukuplah setakat itu.
Mujurlah Allah memberi kesempatan kepada saya mengetahui sesuatu yang tidak diketahui oleh orang ramai, kecuali mereka yang Allah izinkan. Maka dapatlah mengelak dari musibah ciptaannya. Alhamdulillah.
Sayu dan sedih melihat kerosakan jiwa-jiwa yang telah ditawan dan dikuasai mereka (Dajjal, wakil, agen dan tenteranya) tetapi apa daya saya yang lemah ini, saya hanya dapat memandang dengan penuh hiba. Tidak bermaya untuk menghalang atau sekurangnya menyelamatkan seorang dua. Mungkin bukan tugas saya, ya mungkin ada orang lain yang lebih sesuai akan menggalas tugas berat ini.
Tak perlu melawan Dajjal. Imam Mahadi yang penuh dengan karamah dan tentera fisabillillah yang penuh ilmu zahir batin juga tidak mampu menewaskannya. Itu adalah ketetapan. Jika ada sesiapa berani berfikir untuk berhadapan dengannya, pasti akan ditawan dan menjadi hambanya. Apa yang perlu dilakukan ialah lari dari aura yang dia bawa. Hindar dari fitnahnya. Jauhi agen-agen dan tenteranya. Kukuhkan iman dengan mengawal hawa nafsu.
Jangan sekali-kali terpengaruh dengan maksiat walaupun nampak tersangat lazat (Dajjal akan menghidangkan kelazatan maksiat yang tiada penghujungnya, hidup bebas seperti haiwan). Gelombang yang dibawanya akan meluntur iman sebagaimana garam hilang resap dalam air.
Ingat pesan saya, Dajjal dan walinya akan menjaja kebaikan, kebajikan, janji manis dan berbagai lagi yang syumul-syumul, sebenarnya adalah kejahatan dan tipudaya. Perawakannya menonjolkan pekerti yang baik, warak dan alim. Itu semua adalah topeng untuk menipu manusia. Fitnah Dajjal adalah sebesar-besar fitnah.
Benteng untuk menghadapinya adalah iman, bukan ilmu hukum hakam, ilmu yang berisi cerita ceriti, bukan pula ilmu saduran copy paste dari kitab-kitab. Dajjal sendiri lebih lancar dan menguasai ilmu-ilmu tersebut, Anda akan gagal jika cuba berbahas dengannya. Begitu juga wakil yang dilantiknya. Dari sini anda akan tertawan dan menjadi hambanya.
Iman bukan ilmu. Iman itu adalah hasil dari amal yang dipandu oleh ilmu. Iman akan mengisi hati insan. Hati insan sahaja yang dapat membenteng diri dengan mengesan aura yang terpancar dari institusi Dajjal atau wakilnya. Juga dapat menghalang diri dari terpalit fitnahnya yang mempunyai bau yang sangat busuk.
Kemunculan walinya (wakil) secara nyata (selepas semua topengnya terbuka dengan izin Allah) menjadikan saya kaku dan terkedu. Memang hebat. Gerun dan Menakutkan walapun orang lain tidak nampak malah ada yang menyanjung dan hormat kepadanya. Saya menjadi sangat takut. Saya menangis memohon pertolongan Allah. Saya bagaikan hilang semangat. Sedih bukan kepalang, bagaimana nasib anak cucu saya nanti?
Saya berfikir, berfikir sepanjang malam merenungi apa sebenarnya semua ini. Saya cuba amati. Ada benarnya, Allah tidak memilih saya untuk tugasan menyelamatkan mangsa yang terpedaya itu. Saya telah mencuba sedaya upaya tetapi tidak menunjukkan sebarang hasil. Baharulah saya faham, jiwa manusia-manusia ini sudah menjadi semakin liat. Fikiran mereka pula terperosok dalam agenda munafikin dan penebar fitnah secara tersusun kemas. Akal mereka sudah dikawal.
Hanya beberapa orang, tidak ramai. Membayangkan bahawa mereka faham apa yang saya cuba ketengahkan. Mereka yang lain menuntut bermacam-macam syarat. Ada yang mahukan bukti nyata di depan mata, ada yang meragui kerana tidak dibentangkan nas itu dan nas ini. Ada juga yang memaksa saya berhenti menyampaikan semua ini hanya kerana bertentangan dengan apa yang mereka faham. Ada yang sanggup meludah.
Kepada mereka ingin saya bertanya, tahukah anda alQuran itu boleh ditafsirkan 9 wajah? 9 wajah mengikut keupayaan tahap pengetahuan dan ilmu dari anugerahNya.
Ramai juga yang kelihatan bijak berbicara, kelihatan penuh hikmah, lancar berhujah penuh ilmu. Malangnya mesej saya yang cukup ringkas dan mudah ini pun mereka tidak dapat fahami. Malah ada diantaranya lebih sinis menganggap saya menjadi agen kepada sesuatu badan tertentu yang mereka tidak sukai. Saya diludah kerana menyangka saya bersepakat dengan musuhnya.
Maaf, saya bukan hamba kepada sesiapa kecuali hamba Dia satu-satunya. Hidup dan mati saya akan saya abdikan untuk Nya semata-mata. Walaupun begitu, saya sangat sedih kerana gagal membantu sahabat dan rakan saya termasuk anda semua dari serangan Dajjal Laknatullah dan wakil (wali Dajjal) dan agen-agennya.
Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, mungkin ini bukan tugas saya. Ada insan lain yang lebih ampuh dan berkemampuan untuk tugasan tersebut. Saya doakan semoga Allah memberkati anda sekelian dan menyelamatkan anda semua dari menjadi makanan Dajjal.
Saya memohon ampun dan maaf kepada saudara saudari semua. Blog ini insyaAllah ada yang menguruskannya kelak. InsyaAllahi Taala.
Terserahlah kepada mereka yang sudi panjangkan hayat blog ini. Kalau ada rezeki, saya akan kembali lagi menemui saudara saudari.
Izinkan saya berehat.
Wassalamualaikum warahmatullahi Taala Wa Barakatuh. Selawat serta salam ke atas jiwa dan rohani baginda bapa segala jasad, Saidina Adam AS . Selawat serta salam kepada Kekasih Allah yang juga Cahaya atas segala Cahaya, Junjungan yang mulia baginda bapa segala Roh, Saidina Muhammad SAW.
Maafkan saya dan saya mohon diri semoga berjumpa lagi.
- ABATASA
p.s Jangan salah faham... ini bukanlah saya atau sahabat saya
0 comments: